Monday, 23 June 2014

PANTUN

 PANTUN CINDAI

Naik bukit membeli inai,
Inai tidak berbunga lagi;
Kain songket bertepi cindai,
Cindai tidak berbunga lagi.

Kapal belayar menimbang arus,
Patah kemudi menyusur pantai;
Tuan laksana cindai yang halus,
Sama padan maka dipakai.

Kapal belayar menimbang arus,
Patah kemudi mmenyusur pantai;
Sudah jumpa songket yang bagus,
Kalah membeli menang memakai.

Dari Makasar pergi Palembang,
Lalu di Ambon ke Majapahit;
Sungguh kasar kainnya jarang,
Kalau ditenun menjadi baik,

Orang belayar ke Majapahit,
Sayang sekoci kapal Melayu;
Kalau sudah kain tak baik,
Kalau ditenun menjadi baik.

Orang belayar ke Majapahit,
Sayang sekoci kapal Melayu;
Kalau sudah  kain tak baik,
Sebab sehelai rosak sekayu.

Buah pinang kulit bergabus,
Bawa ke pantai berbilang ratus;
Kalau terkenang songket yang bagus,
Masuk gadai rasa nak tebus.

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN MESIN SEMI AUTO


KELEBIHAN


-         Memerlukan masa yang singkat untuk menyiapkan sesuatu tenunan.Ia mampu menyiapkan 50meter kain tenun dalam masa sehari. Mesin ini tidak memerlukan ramai tenaga pekerja.Tenunan atau jalinan benang lebih kasar dari tenunan yang dihasilkan dengan  Kek Siam. Kualiti dan  harga lebih rendah berbanding tenunan Kek Siam.




      KEKURANGAN

      Tenunan atau jalinan benang lebih kasar daripada tenunan yang dihasilkan dengan kek siam. Kualiti dah harga lebih rendah berbanding tenunan kek siam.Kain tenun ini tidak dapat bertahan lama kerana sifatnya sangat nipis dan jalinan benang tidak sekemas tenunan kek siam.



SUMBANGAN PRODUK (PKNP)



BEG TANGAN





BINGKAI GAMBAR





BEKAS PENSEL




SARUNG CERMIN MATA




BEG KETUPAT




Sunday, 22 June 2014

JENIS TENUNAN DARIPADA MESIN SEMI AUTO

CORAK SELUANG MUDIK
CORAK DATO' MAHMUD
CORAK MENGIRING
CORAK TUN RAZAK
CORAK TOK MUDA





Saturday, 21 June 2014

JENIS-JENIS MESIN TENUN SEMI AUTO


Mesin Menerau

Sejenis mesin yang berfungsi sebagai memindahkan benang dari gelkungan peleting(sekoci).
Proses menerau ini dilakukan setelah benang yang diwarna kering dan pelbagai warna benang diterau untuk mendapatkan corak yang dikehendaki.




Mesin Warping

Menolak benang ke dalam gigi jentera untuk proses menggulung benang ke papan gulung. Apabila proses ini sempurna, benang itu dihubungkan pula kedalam mesin jacquard atau dhobby loom. Ia mengambil masa 2 hingga 3hari  untuk menyiapkan 100 meter lembar benang dan  motif serta reka corak akan ditetapkan sebelum dipindahkan ke mesin tenun Jacquard atau Dhobby Loom.


Mesin Jacquard

Mesin ini berfungsi sebagai mesin tenun tidak bercorak. Ia mampu menyiapkan 50 meter dalam sehari dengan kelebaran 44 inci. Mesin ini juga mampu menghasilkan dua atau lebih jenis warna dalam satu tenunan. Mempunyai  gear pelbagai saiz yang berfungsi sebagai tetapan tahap kehalusan sesuatu tenunan.




BERFUNGSI SEBAGAI TETAPAN WARNA

BERFUNGSI SEBAGAI ALAT PENGESAN BENANG TERPUTUS 


      GEAR BERFUNGSI SEBAGAI TETAPAN 
   TAHAP KEHALUSAN SESUATU TENUNAN






            

Mesin Dhobby Loom

Mesin ini berfungsi sebagai mesin tenun bercorak. Motif yang digunakan ialah bunga,daun,pucuk dan tampuk buah-buahan. Mampu menyiapkan 100 meter dalam masa dua hari dengan kelebaran 44 inci.







PROSES PENYEDIAAN SERAT BENANG

Membasuh Benang

Proses mengasingkan benang mentah supaya tidak kusut. Benang mentah dibahagikan kepada bahagian (30 untai) dan kemudian direndam semalaman dengan air abu daripada manggar kelapa atau kulit durian. Benang mentah boleh direndam menggunakan tawas. Kemudian dibilas dan direbus dengan air biasa bagi membuang kanji atau bahan – bahan yang tidak diperlukan. Kemudian benang ini diwarnakan mengikut reka corak kain yang akan ditenun.


 

Pengeringan Benang

Selepas proses membasuh benang membuang kanji dijalankan, benang akan dimasukkan ke dalam mesin untuk dikeringkan dengan mesin pengering. 





Melerai Benang

Setelah benang dikeringkan dengan mesin pengering, proses mengasingkan benang mentah dibuat supaya benang tidak kusut. 



      





Pewarnaan Kimia

Menggunakan warna remazol pada benang. Warna itu ditimbang mengikut kadar kuantiti serat benang. Kemudian dibancuhkan dan ditapis sebelum dimasukkan ke dalam air rebusan yang berisi serat benang. Selepas setengah jam kemudian,soda ash dimasukkan bagi memekatkan lagi warna pada serat tersebut. Akhir sekali benang dimasukkan ke dalam campuran air kapur bagi mendapatkan kesan warna yang lebih terang atau tua. Benang direndam beberapa ketika di dalam air kapur kemudian ditoskan dan dijemurkan sehingga kering di tempat yang teduh dan berangin.















SEJARAH TENUNAN DIRAJA PAHANG

      Apabila Belanda menyerang dan menawan pelabuhan Makassar di Sulawesi pada tahun 1669, ramai dan kalangan orang Bugis meninggalkan tanah tumpah mereka lalu merantau dan meneroka penghidupan baru di kepulauan Riau, Sumatera, Borneo, hingga sampai ke Semenanjung Tanah Melayu. Di samping membawa bersama sanak keluarga, orang Bugis yang terkenal gagah berani turut mengelek adat resam, susur galur salasilah serta pengaruh ekonomi. Dalam pelayaran menyusuri pantai dan Laut Cina Selatan dengan menggunakan perahu layar dan kapal pedagang, akhirnya sampailah orang-orang Bugis itu ke bumi Pahang yang lebih dikenali sebagai negeri Inderapura. Penghijrahan orang-orang Bugis ke Pahang menerapkan sedikit sebanyak pengaruh kesenian dan kebudayaan dalam kehidupan masyarakat tempatan.
Salah satu percikan seni budaya Bugis yang diterima dengan senang hati oleh rakyat pribumi ialah satu unsur dalam rekacorak Kain Sarung bagi lelaki dan Kajang Sangga bagi wanita iaitu sejenis kain tenunan diperbuat dan bahan benang sutera asli.

      Adalah bukti sahih bahawa di abad ke-16 Masehi, antara orang Bugis yang masuk ke negeri Pahang Inderapura, terdapat seorang pembesar bernama Keraing Aji. Beliau disifatkan sebagai pelopor rekacorak baru dalam pemakaian kain sarung dan kain samping. Keraing Aji seperti mana yang disebut-sebut seringkali memakai Dagang Luar dan Dagang Dalam dan bahan tenunan sutera permai yang dibawanya dari daerah Sulawesi, Aceh dan Riau. Selain memperkenalkan beberapa corak tertentu Keraing Aji yang bermastautin di Kampung Mengkasar Pekan, diceriterakan mempunyai pengetahuan dalam bidang menenun sutera.

      Oleh yang demikian,maka ramai wanita khasnya suri rumah berhasrat mempelajari cara-cara membuat kain Tenun daripada beliau. Bertempat di kediamannya, Keraing Aji yang semakin dikenali dengan panggilan Tuk Tuan telah membimbing anak buahnya beberapa kaedah menyediakan peralatan mewarna sutera mentah, seterusnya 'mengubung', 'menerau' dan 'menorak' serat sutera sehingga tercipta fabrik bermutu.
Memperkukuhkan bukti sejarah asal usul Tenun Pahang dimasyhurkan oleh orang Bugis, seorang penulis Inggeris Dr. W. Linehen mencatatkan bahawa "Tuk Tuan (Keraing Aji) seorang pembesar Bugis telah masuk ke Pahang pada tahun 1722, beliaulah yang memperkenalkan kain tenunan tangan kepada penduduk negeri Pahang, khasnya bagi penduduk di daerah Pekan".

     Kepandaian Tuk Tuan (Keraing Aji) dalam bidang menenun serta menzahirkan rekacorak baru menyebabkan beliau dikagumi oleh masyarakat. Bekas pembesar Bugis ini memanfaatkan usianya dengan memberi tunjuk ajar dan melatih para penenun menghasilkan rekaan fabrik halus permai sehinggalah hayatnya dijemput Azali, kembali ke Rahmatullah. Jasad Tuk Tuan disemadikan di perkuburan Islam Kampung Mengkasar, Pekan. Kembalinya Tuk Tuan ke Rahmatullah tidak mematahkan semangat anak buahnya meneruskan kerja menenun dan menzahirkan rekacorak lebih gemilang. Bahkan di dalam kebanyakan rumah melayu di daerah Pekan terdapat peralatan kayu 'Kek' yang dimanfaatkan oleh suri rumah dan gadis-gadis pada waktu terluang menenun bahan pakaian untuk keluarga dan juga dijual sebagal sumber rezeki.

     Kewujudan fabrik tenunan asli di Pahang khususnya dan di Semenanjung Tanah Melayu umumnya diperkuatkan lagi oleh T.J. Newbold dalam bukunya yang menyatakan"Bahawa ada seorang berbangsa lnggeris bernama Gray, telah menjualkan satu tong sutera mentah yang sudah rosak akibat air hujan. Harga bagi satu tong sutera mentah itu ialah RM305."Adanya catatan sedemikian oleh kedua-dua penulis lnggeris itu membuktikan bahawa fabrik tenunan tradisi orang Melayu sesungguhnya menarik perhatian kerana mempunyal nilai tersendiri. Secara tak langsung lnggeris yang pada masa itu cukup berpengaruh dalam pentadbiran Semenanjung Tanah Melayu turut berperanan memajukan perusahaan menenun sutera menjadi suatu industri yang lebih menguntungkan rakyat setempat.

PENGENALAN


Tenun merupakan warisan budaya nasional yang bernilai tinggi sekali gus mencerminkan saat ini, tenun dapat dimodofikasi sebagai satu pilihan dalam gaya busana wanita.Fabrik tenunan Pahang telah menjadi sebahagian daripada kebudayaan rakyat Malaysia yang digunakan terutama dalam upacara kehormatan rasmi.
Tenun DiRaja Pahang dihasilkan mengikut kaedah tradisional dengan mengekalkan kehalusan seni dan mendapat pujian serta perhatian penggemar barangan tradisi dalam dan luar negara.Kompleks Pengembangan Tenun Pahang DiRaja Sultan Haji Ahmad Shah di kampung Soi,Kuantan telah beroperasi dengan penumpuan untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti produk Tenun Pahang DiRaja.
Tenunan adalah suatu proses hasil jalinan atau sulaman benang-benang secara selang-seli antara benang loseng ( yang menunggu ) dengan benang pakan ( yang mendatang ) untuk dijadikan sehelai kain. Seni tenunan adalah suatu warisan yang terus mendapat tempat istimewa dalam kebudayaan Nusantara. Faktor yang mendorong perkembangan seni tenunan ini dapat disorot pada kepentingan kedudukan rantau ini dari segi geografi.Sebagai tempat persinggahan kapal yang strategic,Nusantara menjadi tumpuan utama pedagang dari Tanah Arab, India dan China. Antara barangan yang didagang ketika itu ialah kain termasuk kain tenun. Oleh sebab itu, seni tenunan di Nusantara banyak dipengaruhi dari negara-negara tersebut. Di antara tenunan yang paling terkenal ialah Songket Melayu dan Tenunan Pua peribumi Borneo. Perusahaan tenunan ini banyak dilakukan di negeri Pantai Timur khususnya di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Teknik hasil kraftangan tenunan utama yang menampakkan keseragaman tekstil Melayu. Kain tenunan bererti kain atau tekstil yang dihasilkan dengan teknik tenunan yang dibuat daripada benang.

PENGHARGAAN

Bismillahirahmanirahim.Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah,bersyukur ke hadrat Illahi dengan limpah rahmat dan kurniaNya, akhirnya kami dapat juga menyiapkan tugasan yang diberikan dengan jayanya. Pertama sekali,kami ingin mendedikasikan ucapan penghargaan ini kepada pensyarah yang mengajar kami, iaitu Professor Madya Sulaiman Bin Abdul Ghani kerana dengan tunjuk ajar serta bimbingan daripada beliau dapat kami menyiapkan tugasan ini dengan cemerlang. Kami juga ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan ribuan terima kasih kepada kakitangan dan warga Pusat Pengembangan Tenun Pahang DiRaja(PKNP) yang turut membantu kami dalam proses kajian berkenaan tenun Pahang yang dihasilkan oleh mesin semi auto. Selain itu,kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Arafat Bin Elias kerana beliau sanggup meluangkan masa dan berkongsi ilmu sepanjang proses kajian kami disana.